Tentera penjajah Israel membunuh dua pejuang Palestin dalam pertempuran sebelum subuh di Tebing Barat yang diduduki pada Ahad.
Kumpulan Briged Syahid Fatah Al-Aqsa mengesahkan dua rakyat Palestin yang terbunuh di sebuah rumah di Nablus sebagai anggotanya.
Kementerian Kesihatan Palestin berkata, enam yang lain cedera dalam pertempuran itu.
Polis mendakwa, pasukan keselamatan Israel diserang oleh beberapa lelaki bersenjata ketika serbuan di luar rumah bagi menahan seorang suspek yang dikehendaki.
Sementara itu, jiran di rumah berkenaan, Naser Estitya, 60, berkata, dia terdengar bunyi tembakan dari dalam rumah sebelum tentera Israel melepaskan tembakan ke arah rumah itu.
“Mereka memanggil nama seorang, meminta dia menyerah diri,” katanya.
Gambar dari tempat kejadian menunjukkan sebahagian dinding di tingkat atas musnah.
“Satu lagi jenayah yang dilakukan oleh tentera pendudukan di bandar lama Nablus, di mana syahid telah gugur dan ramai yang cedera.
“Kami mengutuk sekeras-kerasnya jenayah ini dan memegang tanggungjawab Israel atas kesannya,” kata pegawai kanan Palestin, Hussein al-Sheikh di Twitter.
Rejim pengganas Israel meningkatkan serbuan dalam beberapa bulan kebelakangan ini di Tebing Barat selepas beberapa individu dari kawasan itu melakukan serangan jalanan di Israel.
Pihak Berkuasa Palestin yang disokong Barat kerap mengecam pencerobohan itu. – Agensi