Kerajaan Pahang menerusi Yayasan Pahang menawarkan diskaun 40 peratus bayaran balik pinjaman pendidikan yayasan berkenaan kepada peminjam sempena ulang tahun ke-40 penubuhannya tahun ini.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata diskaun itu diberikan kepada peminjam yang menyelesaikan bayaran secara penuh ke atas baki pinjaman termasuk baki caj-caj lain bermula 1 Ogos hingga 31 Dis 2022.
“Ini tanda keprihatinan kerajaan negeri membantu peminjam menyelesaikan baki pinjaman sekali gus membolehkan lebih ramai anak Pahang berpeluang membuat pinjaman bagi mendapatkan akses pendidikan yang sempurna serta melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
“Langkah ini juga dilaksanakan bagi membantu sebahagian besar rakyat termasuk peminjam yang terkesan dengan Covid-19 dan peningkatan kos sara hidup ketika ini,” katanya dalam kenyataan di Kuantan hari ini.
Wan Rosdy berkata peminjam diharapkan akan memanfaatkan tawaran diskaun itu yang dapat membantu mereka menjalani kehidupan lebih baik dan bebas daripada bebanan hutang.
Untuk rekod, pada tahun 2021 Yayasan Pahang pernah menawarkan diskaun 20 peratus dan sepanjang tempoh itu, seramai 608 peminjam telah menyelesaikan baki hutang dengan implikasi rebat sebanyak RM719,259.26 serta pengurangan pinjaman sebanyak RM3.6 juta.
Sejak penubuhannya dari tahun 1982 hingga kini, Yayasan Pahang telah membelanjakan RM1.4 bilion untuk pinjaman pendidikan yang melibatkan 1.684 juta penerima di seluruh Pahang.
– Bernama