Seorang pemotong rumput mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Seremban hari ini, atas empat pertuduhan memperdaya seorang wanita mendapatkan perkhidmatan tradisional atau bomoh tidak wujud sehingga mangsa kerugian hampir RM96,000 pada Mac lepas.
Tertuduh, Mohamad Aizat Ahmad, 24, membuat pengakuan itu sebaik kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam prosiding di dua mahkamah berasingan.
Mengikut pertuduhan pertama yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Firdaus Salleh, Mohamad Aizat didakwa memperdaya seorang pegawai kewangan berusia 42 tahun bagi mendapatkan perkhidmatan tradisional (bomoh) tidak wujud kononnya boleh menyembuhkan penyakit misteri dialami mangsa.
Tindakan tersebut mendorong mangsa menyerahkan barang kemas dan wang tunai RM4,000 dengan nilai keseluruhan berjumlah RM15,362.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap wanita itu sehingga mendorongnya memindahkan wang berjumlah RM34,020 ke satu akaun bank sebuah syarikat.
Perbuatan berkenaan didakwa dilakukan di sebuah kedai makan di Senawang, di sini, kira-kira jam 6 petang pada 19 Mac lepas.
Sementara itu, di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin, tertuduh turut berdepan dua pertuduhan melakukan perbuatan sama terhadap mangsa pada masa dan lokasi sama menyebabkan wanita itu memindahkan wang masing-masing berjumlah RM14,530 dan RM32,000 ke dalam akaun bank sebuah syarikat yang berbeza.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi dan Nurul Muhaimin Mohd Azman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM16,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
– Bernama