MIC menyatakan rasa kecewa dan terkejut selepas lebih 200 pelajar India lepasan SPM ditolak permohonan melanjutkan pendidikan matrikulasi.
Pengerusi Biro Pendidikan MIC, Nelson Renganathan berkata pihak pentadbiran matrikulasi perlu memberi alasan sewajarnya ke atas penolakan permohonan berkenaan.
“Adalah umum bahawa 10 peratus kerusi pendidikan matrikulasi di negara ini telah diberikan kepada bukan Bumiputera.
“Tetapi menjadi persoalan sama ada semua tempat pendidikan matrikulasi diisi. Ada pelajar yang mendapat A dalam semua subjek masih ditolak permohonan,” katanya dalam kenyataan.
Dia turut meminta penjelasan mengenai garis panduan Kementerian Pendidikan dan proses permohonan berkaitan matrikulasi.
Sementara itu, Nelson yang juga Ahli Dewan Negara meminta semua pelajar yang ditolak permohonan agar membuat rayuan.
“Penggal pendidikan matrikulasi bermula pada penghujung bulan ini, tidak memberikan pelajar masa yang mencukupi untuk membuat rayuan.
“Kami meminta pelajar supaya segera membuat permohonan memandangkan tarikh akhir permohonan rayuan ialah 28 Julai,” katanya.
Untuk rekod, pada 2012 bekas perdana menteri Najib Razak mengumumkan jumlah pelajar India di kolej Matrikulasi akan ditingkatkan daripada 559 kepada lebih 1,500 pada sesi 2012/2013.