Sidang dimaklumkan hari ini pesakit kanser di Selangor boleh mendapatkan bantuan pembiayaan rawatan sehingga RM5,000 menerusi program Bantuan Sihat Selangor (BSS).
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata pembiayaan itu juga termasuk pembedahan dengan had jumlah pembiayaan RM5,000 bagi setiap kali permohonan.
“Inisiatif adalah bagi membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan rawatan perubatan yang cepat dan berkualiti.
“Individu yang memenuhi syarat kelayakan boleh mengemukakan permohonan dengan melayari laman sesawang http://bantuansihat.selangor.gov.my,” katanya ketika menjawab pertanyaan Leong Tuck Chee (PH-Pandamaran) berhubung bantuan kewangan bagi pesakit kanser.
Mohd Zawawi menjawab soalan itu sebagai mewakili Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud.
Katanya antara syarat kelayakan bagi mendapatkan bantuan pembiayaan BSS adalah pemohon lahir di Selangor atau bermastautin melebihi 10 tahun; pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000; perlu mengemukakan salinan surat kelulusan Bantuan Sara Hidup (BSH) dari Kementerian Kewangan Malaysia.
– Bernama