Polis meminta penyanyi dan pelakon, Lufya Omar, membawa anak perempuannya ke balai polis untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan cubaan menculik yang didakwa berlaku di sebuah taman permainan di Kota Damansara, di Petaling Jaya, 26 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, selain usaha untuk mendapatkan keterangan daripada anak pelakon itu berusia lima tahun, pihaknya juga akan mendapatkan lakaran wajah (fotofit) suspek bagi membuat hebahan awam.
“Polis sudah menghubungi Lufya dan sekarang masih menunggu kerjasama daripadanya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelupusan Barang Kes Perjudian, Am dan Berharga di Balai Polis Ara Damansara, di Petaling Jaya, hari ini.
Mohd Fakhrudin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.
Media melaporkan Lufya atau Lutfyah Sheikh Omar, 37, mendakwa cedera di bahagian kepala dan badan akibat dipukul dengan kayu oleh seorang lelaki dalam cubaan menculik anaknya itu.
– Bernama