Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang memperolehi Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama mulai 2019 dan seterusnya akan dikecualikan daripada membayar balik pinjaman pengajian mereka, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Dalam ucapan sempena sambutan Jubli Perak PTPTN di Kuala Lumpur petang ini, Ismail berkata kerajaan membuat keputusan tersebut bagi menggalakkan pelajar berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat keputusan cemerlang.
“Saya ingin mengumumkan kerajaan akan memberikan semula keistimewaan kepada mana-mana pelajar yang membuat pinjaman PTPTN dan mendapat ijazah sarjana muda kelas pertama tanpa mengira status ekonomi, bangsa dan agama untuk ditukarkan pinjaman mereka kepada pengecualian bayaran balik pinjaman bagi peminjam PTPTN yang bergraduat bermula tahun 2019.
“Saya berharap PTPTN dapat berbincang dengan Kementerian Kewangan berkenaan perkara ini dari segi peruntukan yang terlibat.
“Ini sebagai dorongan kepada anak-anak Keluarga Malaysia untuk belajar bersungguh-sungguh dan mendapatkan kelulusan yang terbaik dalam pengajian mereka,” kata Ismail.
Pada masa ini, PTPTN hanya memberikan pengecualian bayaran balik pinjaman kepada pelajar dari latar belakang keluarga B40 yang mendapat Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama.
PTPTN ditubuhkan oleh kerajaan pada tahun 1997.
Menurut Ismail Sabri, sejak penubuhannya, tabung itu telah membantu 3.67 juta keluarga dengan jumlah pinjaman yang dikeluarkan sebanyak RM66.87 bilion.
Lebih 2 juta atau 82 peratus daripada peminjamnya telah membayar balik pinjaman mereka setakat ini dengan jumlah kutipan sebanyak RM17.8 bilion.