Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan berjaya memulihkan bekalan elektrik secara sepenuhnya di beberapa negeri dan Lembah Klang yang mengalami gangguan sejak tengah hari tadi.
Dalam satu kenyataan hari ini, TNB berkata kesemua masalah berkenaan telah berjaya diselesaikan pada jam 3 petang tadi.
“Kebanyakan kawasan terjejas berjaya dipulihkan secara berperingkat seawal 20 minit gangguan berlaku hasil usaha berterusan pasukan teknikal TNB.
“Siasatan TNB mendapati gangguan bekalan yang bermula pada jam 12:39 tengahari ini berpunca daripada kerosakan di salah satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor.
“Ia telah mengakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2GW yang merupakan 10 peratus daripada keseluruhan permintaan bekalan di semenanjung Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu TNB memaklumkan gangguan yang berlaku sejak jam 12.39 tengah hari tadi melibatkan 2.2GW yang merupakan 10 peratus daripada keseluruhan permintaan bekalan.
TNB berkata antara kawasan terlibat adalah di Petaling Jaya, Cheras dan Bangi di Selangor, Bayan Lepas dan Seberang Jaya Pulau Pinang dan Bandar Indera Mahkota, Kuantan Pahang.
Gangguan bekalan elektrik itu juga menyaksikan perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) turut tergendala.
RapidKL menerusi Facebook rasminya memaklumkan gangguan bekalan elektrik itu menjejaskan perkhidmatan rel, khususnya LRT laluan Ampang/Sri Petaling.
“Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini.
“Untuk sebarang pertanyaan mengenai gangguan bekalan, pengguna boleh menghubungi talian TNB Careline di 15454,” kata kenyataan itu lagi.