Bekas peguam negara Apandi Ali dipanggil ke Bukit Aman esok untuk diambil keterangan berhubung 1MDB, maklum Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Noorsiah Mohd Saaduddin, lapor Bernama.
Sebelum ini, polis mengumumkan melancarkan siasatan terhadap Apandi berhubung skandal 1MDB dan SRC International.
Siasatan dibuat menurut Seksyen 217 Kanun Keseksaan susulan laporan polis yang dibuat Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dua hari lalu, yang mendakwa Apandi menyalahgunakan kuasanya untuk menutup siasatan skandal tersebut dengan niat membersihkan bekas perdana menteri Najib Razak.
Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.
Seksyen 217 Kanun Keseksaan berkenaan kesalahan penjawat awam yang mengingkari arahan undang-undang dengan niat hendak menyelamatkan orang daripada seksaan, atau harta daripada dirampas. Ia membawa keselahan penjara tidak lebih dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.