Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini memberikan peringatan kepada orang ramai berhubung fatwa pengharaman merokok.
Difahamkan ia diperingatg susulan cadangan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok 2022, yang bertujuan mengharamkan penjualan rokok dan produk vape kepada individu yang lahir selepas 1 Jan 2007.
RUU berkenaan dijadual akan dibentang di Dewan Rakyat minggu depan.
“Rokok difatwakan haram sejak 1995. Vape dan e-cigarette (rokok elektronik) difatwakan haram sejak 2015.
“Beri sokongan penuh kepada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia). Kita mulakan dari generasi muda dan anak-anak,” katanya dalam ciapan di Twitter.
Terdahulu Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata akta untuk mengharamkan rokok, rokok elektronik (vape) dan semua alat merokok kepada golongan yang lahir selepas 2007 akan dibentangkan di parlimen minggu hadapan.
Menurutnya matlamat cadangan generasi penamat (generation end game – GEG itu adalah untuk mewujudkan generasi baru yang bebas daripada perbuatan merokok pada masa akan datang.
“Bayangkan negara kita tanpa asap rokok, bayangkan satu generasi tidak kenal apa itu rokok,” katanya menerusi hantaran video di Facebook, Rabu lalu.