Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini mendedahkan Pengerusi BN Selangor Noh Omar dilantik memegang jawatan menteri bertujuan untuk meningkatkan sokongan kepada gabungan itu di Selangor.
Bagaimanapun, pada asalnya Ismail berkata dia mempunyai portfolio yang lebih penting dalam fikirannya untuk ahli parlimen Tanjong Karang.
“Saya fikir kalau kita beri kekuatan kepada Selangor, mungkin kita ada harapan nak rampas balik Selangor, sebab itu saya lantik Noh sebagai menteri.
“Saya nak offer dia menteri undang-undang supaya dia berperang kuat sikit dalam parlimen tetapi Noh kata bagi dia menteri yang boleh jaga rakyat,” kata Ismail ketika berucap pada majlis Konvensyen BN Selangor di Setia Alam hari ini.
Oleh demikian, jelas Ismail maka pengerusi BN Selangor itu dilantik menteri pembangunan usahawan dan koperasi.
Untuk rekod, Noh merupakan seorang peguam.
BN tewas di Selangor pada 2008, dan sejak itu masih gagal dalam usaha untuk menawan semula negeri berkenaan.
Gabungan itu kini bersiap sedia dalam satu lagi usaha untuk memenangi semula negeri itu, selepas klausa menghalang pilihan raya mengejut dalam perjanjian MOU antara Putrajaya dengan Pakatan Harapan berakhir hari ini.
Walaupun Ismail masih enggan mendedahkan bila tarikh pilihan raya akan diadakan, namun perdana menteri berkata BN mesti memulakan persiapan seolah-olah pengundian akan diadakan esok.
Naib presiden Umno itu berkata BN perlu meningkatkan keyakinan orang ramai dan untuk mencapainya gabungan itu mesti berhenti menyerang kerajaan.
“Kalau pilihan raya umum dalam tiga ke empat bulan dari sekarang.
“Macam mana kita nak yakinkan rakyat, kalau kita sendiri burukkan BN,” katanya.
‘Minyak’ untuk BN Selangor
Sementara itu, Ismail juga berkias bahawa kerajaan akan menyediakan BN Selangor dengan “minyak” yang diperlukan untuk menggerakkan kerja-kerja pilihan raya.
“Minyak jangan bimbang.
“Tidak pernah kita (habis minyak, tengok) PRK Seri Setia, Sungai Kandis walaupun kita pembangkang tak banyak minyak pun ada minyak juga.
“Ini kita kerajaan tentu lah ada minyak. Yang penting persediaan kita hari ini,” katanya.
Ini bagi menjawab kenyataan Noh dalam ucapannya sebelum ini yang mengatakan BN Selangor memerlukan “minyak” untuk beroperasi.
Pun begitu, perkataan “minyak” yang digunakan tidak diperjelaskan secara terperinci maksudnya.
Noh sebelum ini pernah mengeluh, BN bergelut dengan kekurangan peruntukan ketika 22 bulan pemerintahan PH di Putrajaya.
Ismail dalam ucapannya berkata pembaharuan dalam pembiayaan dana politik merupakan agenda penting dalam MOU antara dia dengan PH, bagi memastikan tiada pihak yang dituduh melakukan pengubahan wang haram apabila mengutip dana kempen.
Undang-undang pembiayaan politik masih belum dibentangkan di parlimen dan Ismail berkata perkara ini antara urusannya yang belum selesai yang ingin dicapainya sebelum mengadakan pilihan raya umum.