Seorang wanita ditemukan maut hari ini dipercayai dibaham seekor buaya ketika melakukan aktiviti memancing petang semalam di tebing sebuah sungai di Kampung Tanjung Bulat Sinar Jaya, Kota Kinabatangan, Sabah.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, mangsa dikenali sebagai Norsila Sayong, 32, dijumpai oleh orang awam bersama pasukan penyelamat pada 6.53 pagi tadi kira-kira 800 meter dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.
JBPM menerima panggilan kecemasan mengenai kehilangan mangsa pukul 3.42 petang semalam dan sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabatangan bergegas ke tempat kejadian sejauh 12 km dari balai.
Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Kawasan sungai tersebut, yang bersambung dengan Sungai Kinabatangan sering menjadi lokasi memancing ketika air pasang.
-Bernama