Seorang lelaki Palestin berusia 60 tahun, yang disifatkan keluarganya sebagai cacat mental, telah meninggal dunia akibat kecederaan yang diterimanya ekoran serangan tentera Israel beberapa hari lalu.
Agensi berita rasmi Palestin Wafa, semalam mengenal pasti mangsa sebagai Hussein Kawarik dari kampung Awarta yang terletak lapan kilometer (lima batu) dari bandar Nablus di utara Tebing Barat yang diduduki Israel.
Kawarik cedera kesan daripada tembakan langsung yang ditujukan kepadanya oleh tentera Israel yang mengawal pusat pemeriksaan di bandar Hawara berhampiran Nablus pada hari Selasa, lapor Kementerian Kesihatan Palestin.
Tentera Israel mendakwa bahawa tenteranya ‘ternampak seorang suspek menghampiri mereka di pos tentera,’ dan melepaskan tembakan ke arahnya ketika dia terus menghampiri mereka, mengenai lelaki Palestin itu.
Khaled, abang Kawarik, memberitahu WAFA bahawa abangnya meninggal dunia di Pusat Perubatan Rabin di Tel Aviv, tempat dia dimasukkan ke hospital.
Keluarganya berkata Kawarik mengalami ‘gangguan psikiatri’, manakala Datuk Bandar Huwara, Wajih Odeh, berkata bahawa dia ‘cacat mental’.
Bertindak balas terhadap kematian Kawarik, gerakan perjuangan Hamas menggesa semua rakyat Palestin untuk berdiri bersama dalam menghadapi pendudukan Israel dan meningkatkan penentangan mereka terhadap entiti pendudukan.
“Pendudukan tidak menghiraukan kehidupan rakyat Palestin dan pembunuhan berdarah terhadap orang awam adalah jenayah yang memerlukan pengukuhan semua bentuk penentangan untuk mempertahankan rakyat dan tanah kita,” kata Hamas dalam satu kenyataan akhbar pada hari Sabtu.
Kematian lelaki Palestin itu berlaku hanya sehari selepas seorang warga Palestin berusia 16 tahun meninggal dunia selepas cedera akibat tangan tentera Israel.
Amjad Abu Alya ditembak di dada oleh tentera pendudukan Israel semasa serbuan tentera di perkampungan al-Mughir, timur laut bandar Ramallah, Tebing Barat.
Tentera Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 54 rakyat Palestin di seluruh Tebing Barat sejak akhir Mac. – Agensi