Pakistan kini bakal berdepan bencana kesihatan awam susulan daripada banjir dahsyat yang melanda negara ini, amaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pada ketika ini, organisasi dunia itu sedang mencari dana sekitar AS$816 juta berbanding anggaran awal berjumlah AS$656 juta bagi membantu negara yang terletak di selatan Asia itu.
Kemusnahan disebabkan oleh hujan dan banjir yang tidak pernah berlaku sebelum ini di Pakistan bulan lalu meragut hampir 1,700 nyawa.
“Rakyat Pakistan menjadi mangsa kepada ketidaktentuan perubahan iklim.
“Walaupun hujan mungkin telah berhenti dan air mula surut, namun masih banyak kawasan di selatan Pakistan ditenggelami air,” kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.
Tambahnya, situasi bertambah buruk dengan kedatangan musim sejuk tidak lama lagi.
“Risiko wabak taun, malaria dan demam denggi mengancam lebih banyak nyawa. Bencana yang melata di Pakistan ini boleh berlarutan selama bertahun-tahun akan datang,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Guterres menyeru, negara-negara penderma dan institusi kewangan antarabangsa memberi sokongan penuh kepada PBB serta Pakistan dalam mendepani masalah ini.
Banjir besar yang melanda Pakistan menyebabkan hampir 45 peratus tanah pertaniannya musnah sekali gus memberi ancaman kepada bekalan makanan.
Kerajaan menganggarkan kerugian berjumlah AS$30 bilion kepada ekonomi khusus dalam terma infrastruktur dan sektor pertanian. – Agensi