Persekutuan Am Kesatuan Sekerja (GFTU) di Iraq bimbang dengan isu pengangguran yang semakin meruncing apabila jumlah penganggur terus meningkat tanpa sebarang penyelesaian.
Dilaporkan, enam juta individu negara itu tidak mempunyai pekerjaan – di tengah-tengah desakan supaya kerajaan dan pihak berkuasa bertanggungjawab terhadap isu berkenaan.
Isu pengangguran di Iraq adalah salah satu fail paling menonjol yang menyaksikan peningkatan, terutamanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Kebanyakan penganggur adalah graduan universiti yang memegang ijazah pendidikan tinggi.
Walaupun kerajaan berjanji untuk mencari penyelesaian kepada isu itu, termasuk menyediakan peluang pekerjaan dan pelantikan kerajaan untuk mengurangkan kadar pengangguran, ia bagaimanapun tidak berhasil.
Menurut Pengerusi GFTU, Sattar Danbous Barrak, terdapat enam juta orang menganggur di Iraq namun isu itu tiada sebarang penyelesaian daripada kerajaan,
Beliau dalam satu kenyataan menyifatkan krisis pengangguran di negara itu semakin teruk.
“Terdapat juga enam juta pekerja di Iraq, termasuk 650,000 berdaftar di Jabatan Keselamatan Sosial dengan gaji minimum untuk seorang pekerja hanya 350,000 dinar (AS$237.60).
“Tiada pindaan telah dibuat kepada undang-undang Keselamatan Sosial dalam tempoh 51 tahun, manakala hanya 10 peratus daripada sektor swasta diaktifkan dan didaftarkan dalam jaminan jabatan,” katanya.
Barrak turut mendakwa, buruh asing memasuki Iraq tanpa pengetahuan Kementerian Buruh, dan mengikut statistik bilangan pekerja asing di negara itu adalah lebih sejuta orang.- Agensi