Tentera rejim pengganas Israel menembak mati dua rakyat Palestin di Jenin pada Sabtu, beberapa jam selepas dua remaja maut ditembak dalam insiden berasingan di Tebing Barat yang diduduki semalam.
Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan, Mahmoud Assos, 18, dan Ahmed Daragma, 16, terkorban akibat tembakan tentera Israel ketika serbuan tentera di kem pelarian Jenin.
“Assos ditembak di bahagian leher manakala Daragma ditembak di kepala,” katanya.
Media melaporkan, kenderaan berperisai, jentolak, helikopter tentera dan dron tempur dikerahkan dalam serbuan itu.
Pejuang Palestin bertindak balas dengan tembakan langsung sementara penduduk yang tidak bersenjata turut berdepan dengan tentera Israel.
Sekurang-kurangnya 11 lagi rakyat Palestin cedera, tiga daripadanya masih kritikal.
Tentera Israel mendakwa, pihaknya konon sedang menjalankan operasi penangkapan apabila alat letupan, ‘molotov cocktail’ serta tembakan dilepaskan ke arah askar yang membalas tembakan dan serangan dikenal pasti.
“Seorang lelaki Palestin telah ditangkap,” katanya.
Sumber Palestin mengenal pasti lelaki itu sebagai Saleh Abu Zeneh.
Terdahulu, dua lagi remaja Palestin dibunuh oleh tentera Israel pada petang Jumaat.
Adel Ibrahim Daoud, 14, ditembak di kepala berhampiran penghadang pemisah Israel di Qalqilya manakala Mahdi Ladadweh, 17, ditembak di dada oleh tentera di barat laut Ramallah.