Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) hari ini menyarankan agar keputusan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dibuat secara konsisten merangkumi pertandingan 25 kerusi Parlimen di Sabah.
Presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup berkata ini kerana tindakan BN Sabah untuk menjalin kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRU15 hanya akan memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional.
“PBRS menyokong penuh kenyataan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, BN akan bertanding secara solo…ini juga mengambil kira maklum balas 99 peratus pemimpin bahagian dan penyokong akar umbi PBRS tidak bersetuju dengan gabungan tersebut (BN Sabah dan GRS).
“Maka PBRS berpendirian teguh BN bergerak secara solo mendepani PRU15 untuk mengekalkan imej BN yang berpaksikan kesederhanaan dan mampu menawarkan kestabilan serta kemakmuran kepada rakyat yang berbilang kaum dan agama di dalam negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu hari ini.
Sebelum Parlimen dibubarkan PBRS, yang juga parti komponen BN, mempunyai satu kerusi Parlimen di Pensiangan disandang Timbalan Presidennya Datuk Arthur Kurup juga Timbalan Menteri Kerja Raya.
Hari ini Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dilaporkan berkata BN dan GRS akan menyaksikan nisbah hampir 50-50 dalam pengagihan kerusi Parlimen bagi PRU15, yang merupakan situasi menang-menang untuk kedua-dua belah pihak.
BN dan GRS pada masa ini juga menjalin kerjasama bagi mentadbir Kerajaan Sabah.
– Bernama