Ribuan penduduk Semenanjung Gaza yang terkepung berhimpun sebagai solidariti dengan rakan-rakan Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang diduduki di tengah-tengah gelombang keganasan tentera negara haram Israel.
Perhimpunan disuarakan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) dan Jihad Islam pada Jumaat itu bermula dari masjid di Khan Yunis di selatan Gaza dan Jabalia di utara Semenanjung Gaza.
Peserta perhimpunan memegang sepanduk solidariti dengan penduduk Baitulmaqdis dan gambar beberapa pemuda yang dibunuh oleh tentera Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur diduduki.
Seorang pegawai kanan Hamas, Mosheer Al-Masry memberitahu Al Jazeera bahawa protes itu mengesahkan perpaduan semua rakyat Palestin berikutan perjanjian perdamaian yang ditandatangani oleh kumpulan saingan Palestin pada Khamis.
“Tebing Barat dan Baitulmaqdis memasuki fasa baharu yang menunjukkan pendudukan Israel bahawa perjuangan bersenjata adalah pilihan rakyat kami,” katanya.
Beliau berkata, pencerobohan harian oleh peneroka haram Israel dalam perkarangan Masjid al-Aqsa, di bandar lama Baitulmaqdis dan provokasi Israel baru-baru ini di tapak itu hanya mendorong penentangan Palestin.
“Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa adalah teras konflik dan deminya rakyat kami bangkit sepanjang sejarah kedua-duanya,” katanya.
Tentera Israel telah melakukan serbuan hampir setiap hari di Tebing Barat yang diduduki sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Sebahagian besar serbuan tertumpu di bandar Jenin dan Nablus, lokasi gelombang baharu penentangan bersenjata Palestin sedang muncul.
Sementara itu, sejak awal tahun, sekurang-kurangnya 160 rakyat Palestin dibunuh oleh tentera Israel di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza yang diduduki
Menurut Kementerian Kesihatan, ia termasuk termasuk serangan tiga hari Israel ke atas Gaza pada Ogos lalu yang mengorbankan 51 rakyat Palestin. – Agensi