Ketua Menteri Chow Kon Yeow mencadangkan untuk meneruskan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Nov ini seperti yang dijadualkan sebelum persidangan itu ditangguhkan susulan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Chow berkata beliau akan membawa cadangan itu pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Rabu ini.
“Notis telah dikeluarkan untuk persidangan DUN diadakan pada 4 Nov dan saya mencadangkan untuk meneruskan (persidangan itu) dengan sesi soal jawab sebelum menangguh mesyuarat tersebut pada satu tarikh akan datang.
“Tarikh yang akan datang itu tertakluk kepada tarikh pembuangan undi. Persidangan DUN termasuk pembentangan bajet negeri akan ditangguh sehingga selepas hari pembuangan undi,” katanya dalam sidang media di George Town hari ini.
Katanya persidangan itu perlu diteruskan bagi mematuhi kehendak perlembagaan dan supaya tidak mengganggu kalendar persidangan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari pembuangan undi, Khamis ini.
Sementara itu, Chow yang juga pengerusi DAP Pulau Pinang berkata parti itu akan bekerja bersungguh-sungguh dalam pertarungan kerusi-kerusi Parlimen.
“Mengenai kenyataan UMNO kononnya kita memberi alasan untuk fokus kepada banjir, kita tunggu dan lihatlah, sama ada banjir akan berlaku atau tidak.
“Keputusan untuk menangguhkan pilihan raya peringkat DUN adalah berdasarkan amaran yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi berhubung cuaca, sekarang pun dah jadi (banjir) di beberapa kawasan dan orang yang sama akan kritik kerajaan negeri jika berlaku banjir,” katanya.
– Bernama