Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan (ECP) sebulat suara memutuskan bekas Perdana Menteri, Imran Khan bersalah atas ‘amalan rasuah’, sekali gus melucutkan kelayakan daripada menjadi ahli Parlimen.
Khan didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk membeli dan menjual hadiah yang diterima ketika lawatan ke luar negara yang bernilai lebih AS$635,497.
Tribunal pilihan raya lima anggota mengumumkan keputusan dalam kes Toshakhana terhadap Khan di bawah Perkara 63(1), memutuskan bekas Perdana Menteri itu didapati ‘bersalah atas amalan rasuah.’
Bagaimanapun, ahli parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) berkata, mereka tidak terkejut dengan keputusan itu dan menegaskan parti akan mencabarnya di mahkamah tinggi.
“Kami tahu kerana mereka akan mengumumkan keputusan bukan berdasarkan undang-undang, tetapi atas dasar politik, jadi keputusan ini bukan di luar jangkaan.
“Tetapi biar saya sampaikan kepada mereka dan sesiapa yang berdiri di sisi mereka bahawa impian anda ‘tolak satu’ untuk Imran Khan tidak akan memberikan kenyataan,” kata Asad Umar dari PTI kepada pemberita di luar pejabat ECP.
Khan terbabit dalam kes Toshakhana sejak April apabila Perdana Menteri, Shehbaz Sharif berkata, pendahulunya telah menjual hadiah negara bernilai AS$635,497 di Dubai.
Pelbagai rujukan telah difailkan terhadap Khan menuduhnya membeli barangan dari Toshakhana untuk menjualnya di pasaran dengan kos yang lebih tinggi.
Pertuduhan utama ialah bekas Perdana Menteri itu gagal mengisytiharkan sebahagian daripada pendapatan dalam penyata tahunan asetnya yang dikemukakan kepada ECP.
Di bawah undang-undang, penggubal dikehendaki mengisytiharkan aset mereka dengan ECP setiap tahun. – Agensi