Insiden penculikan seorang warga Palestin di ibu negara, baru-baru ini tidak boleh dipandang enteng kerana dikhuatiri mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.
Sebelum ini, laporan akhbar New Straits Times (NST) mendakwa ada ejen perisikan Mossad dari Israel masuk ke Malaysia dan menculik warga Palestin yang berada di negara ini.
Dalam laporannya, NST mendakwa, ejen Mossad memasuki negara ini dalam usaha mengesan dan menculik rakyat Palestin yang mereka percaya adalah aset Briged Hamas al-Qassam.
Mossad dipercayai merekrut aset tempatan bagi membantu rejim Zionis memburu anggota Hamas di Malaysia, termasuk dalam kes penculikan dua lelaki Palestin yang dipercayai aset Briged Hamas al-Qassam di ibu negara.
Akhbar itu mendakwa dalam operasi di tengah-tengah Kuala Lumpur, pasukan perisik memintas dua warga Palestin sejurus selepas jam 10 malam 28 September lalu, ketika kedua-duanya mahu memasuki kenderaan diletakkan berhampiran Jalan Yap Kwan Seng.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti dakwaan itu sebelum tindakan lanjut diumumkan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani pula meminta orang ramai tidak mengeluarkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan mengelirukan masyarakat sehingga boleh mengganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya setakat ini tidak mempunyai maklumat mengenai wujudnya pembabitan Mossad dalam kes berkenaan.
Berikutan itu, Presiden PERKID, Ustaz Masridzi Sat memohon Majlis Raja-Raja Melayu memberi respons terhadap isu ancaman kedaulatan dan keselamatan negara ini.
Beliau juga meminta pemimpin politik yang sibuk berpolitik memberi tumpuan khusus kepada isu tersebut.
“Syabas dari NGO Islam kepada pihak keselamatan negara di atas kesungguhan bertindak terhadap isu ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.
Walaupun belum disahkan, beliau meminta rakyat membantu dan menyokong pihak berkuasa dalam menghapuskan gerakan Zionis Mossad sehingga ke akar umbinya khususnya dalam negara dan di peringkat antarabangsa.
“Dan seruan agar segala individu dan rangkaian yang bersekutu dengan Zionis Mossad yang ada dalam negara kita mesti disekat.
“Paling tidak mesti dimusnahkan sebelum keadaan menjadi lebih parah dan terlambat,” katanya.