Tentera rejim pengganas Israel menembak mati dua warga Palestin dalam insiden berasingan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis yang diduduki semalam.
Menurut pegawai Palestin, rakyat yang terbunuh di Tebing Barat yang diduduki telah ditembak mati di sebuah pusat pemeriksaan.
Askar Israel mendakwa kononnya anggota tentera cuba menahan sebuah kenderaan selepas penumpangnya telah menyeberang ‘secara haram’ ke Israel.
Dakwanya, kenderaan itu memecut dan melanggar seorang askar.
Askar itu kemudiannya melepaskan tembakan ke arah kenderaan berkenaan.
“Seorang daripada penumpang meninggal dunia di hospital,” kata pegawai hospital Palestin.
Bapa mangsa memberitahu berita Qudsnet Palestin bahawa anaknya sedang menuju ke tempat kerja apabila dia ditembak.
Tidak jelas sama ada dia mempunyai permit kerja untuk masuk ke Israel.
Sementara itu, di Sheikh Jarrah Baitulmaqdis, polis Israel berkata, mereka menembak dan ‘meneutralkan’ seorang warga Palestin yang telah menikam dan mencederakan seorang warga Israel.
Tindakan keras Israel di Tebing Barat telah meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini, sekali-sekala merebak ke Baitulmaqdis.
Minggu ini, suruhanjaya siasatan yang dilantik Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) membuat kesimpulan bahawa ‘pendudukan tetap dan pengilhakan de-facto’ Israel melanggar undang-undang antarabangsa. – Agensi