Ratusan pelarian Syria meninggalkan Lubnan dan pulang ke negara asal dalam program sukarela yang dikendalikan perkhidmatan keselamatan.
Pelarian – yang kebanyakannya tinggal di Arsal – menyeberang di Al-Zamrani ke barat Qalamoun sementara yang tinggal di bandar selatan Nabatieh pulang melalui persimpangan Masnaa.
Jurucakap Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), Lisa Abou Khaled memberitahu, pihaknya tidak ‘memudahkan atau mempromosikan’ program penghantaran pulang.
“Namun begitu, ribuan pelarian memilih untuk menggunakan hak mereka untuk pulang setiap tahun.
“UNHCR menyokong dan menggesa langkah menghormati hak asasi manusia pelarian untuk pulang secara bebas dan sukarela ke negara asal mereka pada masa yang mereka pilih.
“…dan selaras dengan prinsip antarabangsa mengenai kepulangan secara sukarela, bermaruah, dan selamat serta tidak melakukan paksaan,” katanya.
Pejabat Keselamatan Am Lubnan menjalankan program bagi memulangkan rakyat Syria yang menyatakan hasrat mereka untuk kembali.
Anggaran mencadangkan seramai 400 pelarian menyeberang ke Syria pada Rabu, bagaimanapun jumlahnya mungkin setinggi 700.
Menteri Hal Ehwal Sosial Lubnan, Hector Hajjar berkata, pihaknya tidak mendedahkan jumlah pelarian.
“Keputusan politik telah dibuat. Terdapat kumpulan lain dan operasi akan diteruskan,” katanya. – Agensi