Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dijangka bertanding di kerusi parlimen Sungai Buloh di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sumber-sumber yang rapat dengan pucuk pimpinan BN mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini.
“Ya, sah KJ tanding di Sungai Buloh. Perkara ini telah dimuktamadkan baru-baru ini.
“Pengumuman akan dibuat oleh Pengerusi BN (Ahmad Zahid Hamidi) dalam masa terdekat,” kata sumber itu.
Kerusi Sungai Buloh secara tradisi ditandingi oleh MIC. Namun, parti itu kalah kepada PKR tiga penggal secara berturut-turut.
Susulan itu, Khairy yang lebih mesra dipanggil sebagai KJ dikenal pasti sebagai calon BN di kerusi parlimen itu.
“Setiausaha politik KJ, Megat Firdouz (Megat Junid) merupakan ketua bahagian Umno Sungai Buloh.
“Ini memberi kelebihan kepada Khairy bertanding di situ,” katanya.
Khairy merupakan penyandang kerusi parlimen Rembau.
Namun, pada kali ini dia melepaskan kerusi itu kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan untuk bertanding.
Sungai Buloh merupakan kerusi campuran yang disandang oleh R Sivarasa dari PKR sejak 2008.
Pada PRU kali ini, Sivarasa digugurkan dan digantikan dengan timbalan penerangan PKR R Ramanan.
Ramanan juga merupakan bekas setiausaha agung MIC.
MIC sasar Batu
Sementara itu, sumber MIC memberitahu bahawa parti itu mungkin bertanding di parlimen Batu.
“Kita telah melepaskan Sungai Buloh, maka kami akan digantikan dengan kerusi baru.
“MIC sedang mengadakan rundingan untuk bertanding di parlimen Batu,” kata sumber itu.
Batu merupakan kerusi Gerakan sebelum ini ketika ia bersama BN. Namun, parti itu bertindak keluar BN selepas gabungan itu kalah pada PRU 2018.
Susulan itu, Umno dan MIC menunjukkan minat untuk bertanding di parlimen itu.
Sebelum ini, MIC juga menukar kerusi parlimen Cameron Highlands kepada Teluk Intan dan Kapar kepada Kuala Langat.