Sekurang-kurangnya 81 orang terkorban selepas jambatan pejalan kaki di Gujarat, barat India runtuh semalam.
Pihak berkuasa berkata, lebih 150 orang berada di jambatan gantung di atas Sungai Machchhu di bandar Morbi ketika kejadian.
Video yang dirakam menunjukkan mangsa-mangsa yang terselamat terpaksa berpaut pada tali jambatan yang gantung dengan sebahagiannya tenggelam.
Jambatan sepanjang 230 meter itu dibina ketika pemerintahan British pada abad ke-19.
Ia telah ditutup untuk pengubahsuaian selama enam bulan dan dibuka semula kepada orang ramai minggu lepas.
Perdana Menteri India, Narendra Modi yang berada di Gujarat dalam lawatan tiga hari berkata, beliau telah mengarahkan ketua menteri negeri untuk segera menggerakkan pasukan operasi menyelamat.
Kerajaan negeri telah membentuk pasukan penyiasat khas lima anggota untuk menjalankan siasatan berhubung insiden itu.
Insiden itu berlaku sebelum pilihan raya di Gujarat yang dijangka diadakan menjelang akhir tahun, dengan penggal semasa parti pemerintah Modi berakhir pada Februari 2023. – Agensi