Oktober menyaksikan jumlah tertinggi rakyat Palestin dibunuh rejim haram Israel di seluruh Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur, menurut data yang dikumpul oleh Middle East Eye.
Tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 29 rakyat Palestin di Tebing Barat bulan lalu, menjadikan Oktober bulan ‘paling maut’ dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan tahun ini sebagai ‘tahun paling maut’ sejak mula mengira kematian di seluruh wilayah Palestin pada tahun 2005.
Menurut analisis MEE, ia juga merupakan angka kematian tertinggi di Tebing Barat dalam tempoh sebulan sejak Mei, ketika bantahan Palestin di seluruh negara terhadap serangan Israel ke atas Masjid al-Aqsa, pengusiran Sheikh Jarrah dan pengeboman di Semenanjung Gaza.
Kali terakhir sebelum 2021, angka bulanan yang melebihi 30 kematian adalah antara Oktober dan Disember 2015 – kemuncak gelombang serangan tikaman oleh rakyat Palestin.
Sekurang-kurangnya lima daripada mereka yang maut pada Oktober ditembak pasukan keselamatan Israel adalah kanak-kanak lelaki.
Paling muda daripada mereka ialah Mahmoud Mohammad Samoudi berusia 12 tahun dari Jenin, meninggal dunia di hospital pada 10 Oktober akibat luka terkena tembakan Israel pada 28 September.
Lebih separuh daripada mereka yang terbunuh pada Oktober kemungkinan besar tidak bersenjata ketika mereka ditembak mati, menurut pegawai dan laporan media Palestin.
Pada 3 Oktober, tentera Israel melepaskan tembakan ke arah tiga rakyat Palestin semasa mereka berada dalam kenderaan sewaktu pulang dari kerja, membunuh dua dan mencederakan individu yang ketiga.
Tahap keganasan di Tebing Barat ini tidak pernah direkodkan sejak penghujung Intifada Kedua. – Agensi