Russia bersetuju untuk menyambung semula perjanjian pelan transit di Laut Hitam bagi membolehkan eksport pertanian bijirin ke pasaran dunia.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berkata, keputusan itu dibuat selepas Menteri Pertahanan Turkiye, Hulusi Akar menghubungi rakan sejawatnya di Russia, Shoigu dan memujuk supaya perjanjian berkenaan diteruskan semula bagi mengelak berlaku krisis makanan global.
“Hasil perbincangan berkenaan, Russia membenarkan penghantaran bijirin diteruskan semula berkuat kuasa 12 tengah hari, hari ini (3 November) dan jutaan tan bijirin hasil tanaman Ukraine akan dibenarkan melalui Laut Hitam.
“Keutamaan penghantaran bijirin dari Ukraine akan dibuat ke negara Afrika termasuk ke Somalia, Djbouti dan Sudan,”katanya.
Sabtu lalu, Russia secara tiba-tiba menghentikan peranannya dalam perjanjian Laut Hitam, bagi tempoh yang tidak ditentukan.
Tindakan berkenaan dipercayai disebabkan tindakan Ukraine yang melancarkan serangan dron ke atas negara tersebut di Crimea, minggu lalu.
Sementara itu, mengulas keputusan negaranya menarik diri daripada pelan transit Laut Hitam, Presiden Vladimir Putin menjelaskan pihaknya tidak akan menamatkan penyertaan dalam perjanjian berkenaan.
Sebaliknya, hanya menangguhkan untuk sementara waktu sahaja.
“Ukraine juga perlu memastikan tiada lagi ancaman kepada Russia terutama kepada orang awam dan kapal milik negara kami.
“Sekiranya masih ada kejadian serangan kami tidak teragak-agak untuk menamatkan terus perjanjian tersebut yang diusahakan PBB dan Turkiye,” katanya. – Agensi