Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memerlukan lebih RM48 juta untuk mengendalikan kes kesihatan berkaitan wabak taun yang semakin menular di Lubnan.
Wabak berkenaan merebak dengan pantas di lapan gabenor dan di 18 daripada 26 daerah negara itu.
Keutamaan WHO adalah untuk menghadkan penyebaran taun, sambil meminimumkan morbiditi dan kematian berkaitan wabak itu melalui penjagaan kesihatan yang berkualiti.
Sehingga 4 November lalu, sejumlah 2,524 kes yang disyaki taun – di mana 416 daripadanya disahkan oleh makmal – telah dilaporkan, termasuk dengan 18 kes kematian.
Wabak itu terus merebak ke komuniti baharu setiap hari akibat air tercemar di peringkat sumber, masyarakat dan isi rumah.
Kira-kira 45 peratus daripada kes yang disyaki dan disahkan berumur kurang daripada 15 tahun, 15 peratus adalah antara 15 hingga 24 tahun, 21 peratus pula antara 25 hingga 44 tahun dengan selebihnya meliputi ke seluruh kumpulan umur yang tinggal.
Secara keseluruhan, 88 peratus kes yang disyaki dan disahkan wabak taun telah menunjukkan simptom ketika dibawa ke kemudahan kesihatan.
18 peratus daripada kes yang disyaki dan disahkan juga memerlukan rawatan di hospital.
Di seluruh negara itu, 94 katil kini menempatkan pesakit untuk rawatan taun. Majoriti kes yang terus dilaporkan adalah di Akkar dan Utara, manakala sebahagian lagi di Gunung Lubnan serta Baalbek-Hermel.
Wakil WHO di Lubnan, Dr Abdinasir Abubakar berkata, negara itu terdedah kepada taun dan keadaan bertambah buruk oleh kemelut ekonomi berpanjangan.
“Di tambah lagi kurangnya akses air bersih dan perkhidmatan sanitasi yang betul di seluruh negara.
“Kami memerlukan usaha bersepadu untuk memastikan orang ramai mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan, air bersih dan sanitasi, selain mendidik mereka mengenai cara mengani taun jika dijangkiti katanya.- Agensi