Parlimen Lubnan pada Khamis gagal memilih presiden untuk negara itu buat kali kelima.
Ia sekali gus membawa negara itu lebih hampir kepada kebuntuan institusi di tengah-tengah krisis kewangan yang semakin parah.
Undian pusingan pertama menyaksikan, Ahli Parlimen, Michel Moawad sebagai pendahulu dalam 128 kerusi Parlimen dengan 44 undi pada Khamis.
Bagaimanapun ia masih jauh daripada majoriti dua pertiga — atau 86 undi — yang diperlukan untuk menang.
Parlimen berpecah antara penyokong gerakan Hizbullah dan penentangnya yang mana masing-masing tidak mempunyai majoriti yang jelas.
Hizbullah menolak pencalonan Moawad dan meminta ‘calon kompromi’ ditemukan.
Dalam pada itu, kebanyakan ahli Parlimen dari bloknya merosakkan undi mereka.
Sejak Mei, Lubnan hanya mempunyai kerajaan sementara yang tidak mempunyai kuasa untuk meneruskan reformasi menyeluruh yang dituntut oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebagai syarat untuk mengeluarkan berbilion dolar dalam bentuk pinjaman kecemasan. – Agensi