Puluhan letupan menggegarkan kawasan berhampiran loji nuklear di selatan Ukraine, semalam sekali gus mencetuskan kebimbangan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
IAEA mengecam serangan itu dengan menegaskan ia umpama ‘bermain dengan api’.
Ketua Pengarah IAEA, Rafael Grossi menggesa supaya pertempuran di loji Zaporizhzhia yang merupakan loji terbesar di Eropah dihentikan.
“Pertempuran ini perlu dihentikan segera, anda sedang bermain dengan api,” katanya.
Tentera Russia menuduh pasukan keselamatan Ukraine yang berada di seberang sungai membedil kawasan yang dikawalnya.
Bagaimanapun, tiada maklumat daripada Ukraine yang sebelum ini mencadangkan tenteranya membedil kawasan berkenaan yang ditawan Russia.
Kawasan loji nuklear termasuk bandar Enerhodar yang diduduki Russia sejak beberapa bulan lalu turut menjadi sasaran terbaharu letupan.
Memetik laporan daripada pegawai di loji berkata, terdapat banyak kerosakan yang berlaku kepada bangunan, sistem dan peralatan di tapak loji berkenaan.
Namun, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan. – Agensi