Republik Azerbaijan mengumumkan akan membuka pejabat perwakilan di Palestin, lapor agensi berita Wafa.
Menurut Kementerian Luar Negeri dan Ekspatriat Palestin, Parlimen Azerbaijan meluluskan perkara itu sebagai langkah solidariti republik itu terhadap Palestin dan seluruh rakyat.
Menteri Luar Pihak Berkuasa Palestin, Riyad Al-Malki mengalu-alukan keputusan itu dan menyifatkan ia sebagai kemenangan baharu bagi diplomasi Palestin.
Ia juga sebagai harapan penubuhan negara Palestin dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota.
Langkah ini juga akan mengeratkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Terdahulu pada hari Jumaat, Azerbaijan juga memutuskan pihaknya akan membuka kedutaan di Tel Aviv, yang dikutuk oleh rakyat Palestin.
Bagaimanapun, Menteri Pembangunan Sosial PA, Ahmed Majdalani, memberitahu Arab News bahawa Azerbaijan tidak memutuskan hal itu tanpa berunding dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, memandangkan ‘Azerbaijan adalah negeri naungan Turki’.
Ahmed berkata, beliau terkejut kerana Azerbaijan adalah pengerusi semasa sidang kemuncak Islam, yang pada masa lalu menentang tindakan sedemikian.
“Malangnya, keputusan Azerbaijan hasil perbincangan sayap kanan Israel mengambil alih kuasa di Israel, jadi ini dianggap sebagai ganjaran bagi pelampau atas serangan mereka terhadap rakyat Palestin dan kesucian Islam.
“Kami kecam langkah politik yang merugikan rakyat Palestin,” katanya.
Israel dan Azerbaijan telah menjalin hubungan selama 30 tahun dan terdapat Kedutaan Israel di Baku sejak 1993. – Agensi