Seorang pelajar Palestin dibunuh oleh tentera negara pengganas Israel ketika dalam perjalanan ke sekolah semalam.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, Mahmoud Abdel-Jalil al-Saadi, 17, ditembak di perut ketika serbuan Israel di bandar Jenin di Tebing Barat yang diduduki.
“Seorang orang awam meninggal dunia akibat kecederaan kritikal selepas terkena peluru hidup pendudukan (Israel) di perut, di Jenin,” katanya dalam satu kenyataan.
Kementerian itu berkata, Saadi dalam perjalanan ke sekolah apabila dia terperangkap dalam keganasan.
Dia dimasukkan ke unit rawatan rapi di hospital Ibn Sina berhampiran dan kemudian disahkan meninggal dunia.
Media Palestin melaporkan lima yang lain cedera selepas tembakan meletus antara pejuang bersenjata dan tentera Israel.
Terdahulu, pegawai Israel menyerbu kejiranan Al-Hadaf Jenin dan mengepung rumah Ratib al-Bali sebelum menangkapnya.
Tentera Israel mendakwa, pihaknya konon sedang berusaha untuk menahan ‘operasi pengganas’ ketika serbuan itu.
“Semasa operasi itu, tembakan dilepaskan dan bahan letupan dilemparkan ke arah tentera.
“Askar bertindak balas dengan tembakan langsung ke arah suspek yang melepaskan tembakan ke arah mereka… Tembakan itu telah dikenal pasti,” katanya.
Tentera dan peneroka Israel telah membunuh 140 rakyat Palestin, termasuk sekurang-kurangnya 30 kanak-kanak, di Tebing Barat tahun ini, menjadikannya paling mengerikan secara purata bulanan bagi rakyat Palestin sejak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mula mencatatkan rekod kematian pada 2005.
Seramai 49 lagi rakyat Palestin terbunuh ketika pengeboman Israel ke atas Gaza pada Ogos lalu.
Kira-kira 27 orang awam dan tentera Israel telah dibunuh oleh rakyat Palestin dalam tempoh yang sama, jumlah tertinggi sejak 2008.
Lebih 600,000 warga Israel tinggal di lebih 200 penempatan dan pos luar, yang dianggap haram di bawah undang-undang antarabangsa, merentasi Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur. – Agensi