PKR akan membuat laporan polis berhubung hantaran politik di halaman Facebook berkaitan Perikatan Nasional (PN), yang didakwa menyiarkan kandungan berbaur fitnah dengan tujuan memburukkan kerajaan baharu pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Penerangan, Fahmi Fadzil, mengecam hantaran terbabit, yang mendakwa Israel gembira dengan pelantikan Anwar, merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebagai Perdana Menteri ke-10.
Beliau turut mempersoalkan siapa Widanita Shahnaz, yang didakwa menaja hantaran berkenaan di media sosial.
“Punyalah terdesak nak tohmah dan fitnah Perdana Menteri, sanggup buat sponsored post (menaja hantaran). Siapa Widanita Shahnaz ini? Parti mana?
“Mana Perikatan Nasional (PN) dapat duit banyak untuk boost (menggalakkan) benda macam ini?
“Sebaran fitnah seperti ini dan mereka yang terbabit atau bersekongkol untuk buat kerja ini wajar disiasat PDRM (Polis Diraja Malaysia). Insya-Allah, laporan polis menyusul,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Selain dakwaan berkaitan Israel, individu sama didakwa turut menyebarkan cerita sejarah, yang dikatakan tidak tepat mengenai kota orang Islam dikepung dan kemudiannya penduduk di situ dibunuh tentera Mongol.
Carian di platform Facebook bernama Perikatan Nasional for Malaysia, hantaran yang dimuat naik menerusi halaman media sosial berkenaan sudah dipadamkan. Halaman itu dipercayai wujud menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada tahun lalu.
Memetik laporan portal berita Malaysiakini, hantaran berkenaan serta 28 lagi didakwa menyasarkan PH dan Barisan Nasional (BN).
Menurut laporan sama, selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), hantaran di media sosial itu ditaja seorang individu, dipercayai anggota Dewan Muslimat PAS Dungun.