Perdana Menteri, Anwar Ibrahim perlu memastikan anggota kabinetnya mengisytiharkan harta mereka kepada umum, kata Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan.
Arutchelvan berkata adalah penting bagi kerajaan baru untuk menetapkan peraturan baru tersebut.
Dia juga mengalu-alukan langkah Pengerusi PH itu untuk mengecilkan kabinet dengan menyatakan pendahulunya, Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob tidak berbuat demikian kerana mahu memuaskan hati parti-parti politik tertentu.
“Anwar sepatutnya melakukan hal yang berbeza dan biarkan rakyat menilai beliau.
“Sebagai permulaan, dia harus meminta semua anggota kabinet mengisytiharkan harta mereka kepada umum dan bukannya kepada perdana menteri seperti yang dilakukan sebelum ini.
“Apabila Anwar sendiri boleh mengisytiharkan hartanya kepada umum, dia mesti menetapkan standard ketelusan yang sama untuk menteri-menterinya untuk meyakinkan orang ramai bahawa dia mengetuai kerajaan yang bersih,” katanya kepada Malaysiakini petang ini.
Menjelang pilihan raya umum baru-baru ini, Anwar mengisytiharkan mempunyai aset bernilai kira-kira RM11.2 juta, termasuk sebuah rumah dan tiga bidang tanah bernilai RM10.35 juta dan kira-kira RM829,000 dalam bentuk wang tunai dan simpanan.
Anwar baru-baru ini berjanji membentuk kabinet secepat mungkin selepas mengambil kira pandangan semua pihak, termasuk mereka yang menasihatinya supaya tidak melantik “kluster mahkamah” atau mereka yang mempunyai kes mahkamah yang belum selesai.
Antara ahli politik yang sedang berdepan perbicaraan di mahkamah ialah Zahid Hamidi yang telah memberikan sokongan politik kepada Anwar sebelum ini, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Bagaimanapun, perdana menteri membayangkan terdapat ruang dalam kabinetnya untuk diisi individu-individu ini berdasarkan prinsip undang-undang bahawa seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.
Sebelum ini Anwar berkata “seperti mana kita tahu dari segi undang-undang, hanya setelah ada hukuman…yang lain tu akan diberi pertimbangan”.
Sementara itu, Artuchelvan berkata ketelusan dan tadbir urus yang baik, yang telah lama diperjuangkan Anwar dan PH, juga perlu dilaksanakan membabitkan isu pelantikan dalam GLC.
“Individu yang boleh dipercayai harus diambil untuk jawatan ini. Ini sememangnya akan meningkatkan keyakinan pelabur dan membantu dalam pemulihan ekonomi,” tambahnya.