Indonesia merancang untuk membangunkan sebuah loji tenaga nuklear menjelang 2039 untuk mencapai pelepasan sifar bersih, selain menyokong keperluan domestik bagi tenaga negara itu.
Pengarah Agensi Kawal Selia Tenaga Nuklear (BAPETEN), Haendra Subekti dalam kenyataan memaklumkan, bagi merealisasikan perkara berkenaan, pihaknya kini sedang mencari pelabur untuk membantu membiayai pembinaan loji itu.
“Kami telah merangka peraturan dan perundangan mengenai keselamatan infrastruktur nuklear, menyediakan lokasi untuk loji serta formulasi operasi percubaan.
“Dan semua peraturan berkenaan hampir selesai sepenuhnya,” kata Haendra sambil menambah lokasi loji tenaga nuklear tidak akan berada dalam kawasan terdedah dengan gempa bumi.
Katanya, buat masa ini beberapa syarikat swasta telah menyuarakan kesediaan untuk terlibat dalam pelaburan projek.
Bagaimanapun, Haendra menjangkakan lebih banyak pelabur dari dalam dan luar negara mahu terbabit dalam projek berkenaan.
Perancanagan Indonesia untuk menubuhkan loji tenaga nuklear telah ditetapkan di bawah peraturan kerajaan mengenai operasi perniagaan berisiko.- Agensi