Pihak berkuasa Iran menjatuhkan hukuman mati ke atas empat lelaki yang dituduh bekerja untuk agensi perisikan Mossad Israel.
Agensi berita IRNA – yang dikendalikan kerajaan – berkata, Pengawal Revolusi yang berkuasa di negara itu mengumumkan penahanan rangkaian individu yang dikaitkan dengan agensi Israel.
Katanya, anggota itu mempunyai rekod jenayah lampau dan cuba mengganggu keselamatan negara.
Menurut laporan itu, ahli rangkaian mencuri dan memusnahkan harta persendirian serta awam bahkan menculik beberapa individu dan menyoal siasat mereka.
Katanya, pengintip yang didakwa mempunyai senjata dan menerima upah daripada Mossad dalam bentuk mata wang kripto.
IRNA mengenal pasti banduan yang dihukum mati sebagai Hossein Ordoukhanzadeh, Shahin Imani Mahmoudabadi, Milad Ashrafi dan Manouchehr Shahbandi.
Israel dan Iran adalah musuh ketat serantau.
Tehran sekali-sekala mengumumkan penahanan individu yang dikatakan pengintip bagi negara asing, termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Iran tidak mengiktiraf Israel dan menyokong kumpulan bersenjata anti-Israel di seluruh rantau itu, seperti Hizbullah dan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas). – Agensi