Rangkaian media, Al Jazeera pada Selasa memfailkan kes pembunuhan wartawannya, Shireen Abu Akleh – yang dipercayai didalangi pasukan pendudukan Israel – di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague.
Shireen, 51, warganegara Baitulmaqdis yang juga memiliki kerakyatan Amerika Syarikat (AS) telah berkhidmat sebagai wartawan di Al Jazeera selama 25 tahun, sebelum mati dibunuh oleh askar pengganas Israel pada 11 Mei lalu.
Dia ditembak di kepala ketika membuat liputan serbuan tentera Israel ke atas kem pelarian di Jenin, wilayah Tebing Barat yang diduduki.
Dalam penyerahannya kepada pendakwa ICC, Al Jazeera mengemukakan bukti saksi baharu dan menunjukkan dengan jelas bahawa Shireen serta rakannya ditembak secara langsung oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF).
Penyerahan kes itu termasuk dokumen siasatan menyeluruh selama enam bulan yang mengumpulkan semua bukti saksi dan rakaman video yang ada, serta bahan baharu mengenai pembunuhan Shireen.
Al Jazeera mengatakan bukti yang dikemukakan itu menyangkal dakwaan pihak berkuasa Israel bahawa kononnya wartawan Palestin terbabit terbunuh secara tidak sengaja dalam serangan berbalas tembakan.
Media antarabangsa itu menyifatkan dakwaan Israel sebagai tidak berasas, kerana bukti yang dikemukakan kepada Pejabat Pendakwa Raya (OTP) mengesahkan bahawa tiada kejadian berbalas tembakan berlaku di lokasi, sebaliknya hanya serangan daripada pihak rejim Israel.
Peguam Al Jazeera, Rodney Dixon KC menyifatkan pembunuhan Shireen sebagai sebahagian daripada corak tingkah laku Israel yang semakin meluas menyasarkan wartawan.
“Ia bukan satu kejadian, ia adalah pembunuhan yang merupakan sebahagian daripada corak yang lebih luas dan perlu disiasat oleh pihak pendakwaan untuk mengenal pasti mereka bertanggungjawab atas pembunuhan itu.
“Tumpuan adalah pada Shireen dan pembunuhan khusus ini adalah keterlaluan kerana ia menyasarkan organisasi media antarabangsa,” katanya.- Agensi