KUALA LUMPUR: Kehadiran Menteri dan Timbalan Menteri dalam mesyuarat sepanjang sidang Dewan Negara akan dicatatkan oleh Setiausaha Dewan Negara, selaras dengan Artikel 43 (3) Perlembagaan Persekutuan.
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim, berkata langkah tersebut diambil bagi memberi gambaran bahawa semua anggota Kabinet dan Timbalan Menteri adalah bertanggungjawab kepada Parlimen.
“Hal ini belum pernah disebut lagi tetapi penting bagi dewan tertinggi ini mencatatkannya sebagai satu tanggungjawab,” katanya pada ucapan pembukaan sidang Dewan Negara di sini hari ini.
Dalam ucapan itu, Rais turut mengingatkan empat orang Ahli Dewan Negara yang dilantik sebagai Menteri dan dua sebagai Timbalan Menteri, agar tidak melupakan dewan tertinggi itu tatkala menggalas tanggungjawab jawatan-jawatan tersebut.
“Moga sebagai Ahli Dewan ini, rakan-rakan Menteri dan Timbalan Menteri tidak melupai dewan yang mulia ini yang memberi budi, asas dan telapak kepada kita,” katanya.
Pada 3 Disember lalu, empat individu yang dicalonkan sebagai menteri pada ketika itu, dilantik sebagai Senator.
Mereka terdiri daripada Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dilantik sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Datuk Seri Zambry Abd Kadir (Menteri Luar), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar (Menteri Hal Ehwal Agama) dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Menteri Dalam Negeri).
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, K Saraswathy, pula dilantik sebagai Senator pada 10 Disember.
Dewan Negara hari ini turut merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-10 dan menerajui Kerajaan Perpaduan.
Rais berkata, beliau berharap Ahli Parlimen Tambun itu akan berjaya memacu perpaduan, ekonomi negara dan memperjuangkan rakyat ke arah kesejahteraan yang lebih baik.
“Sidang Dewan Negara ini walaupun hanya sehari, ia cukup bermakna kerana ia kini diterajui pentadbiran kerajaan diketuai Perdana Menteri ke-10, Yang Amat Berhomat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bermulalah era dan zamannya,” katanya.
Dalam pada itu, Rais berkata, Dewan Negara berduka dan mengucapkan takziah kepada mangsa serta waris yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor pada 16 Disember lalu sambil menzahirkan rasa simpati kepada mangsa banjir di seluruh negara.
Rais menasihati kesemua Ahli Parlimen untuk memberi khidmat dan bantuan sekadar mampu kepada rakyat di kawasan masing-masing bagi meringankan beban mereka.
“Kita berharap juga negara akan setiasa dilindungi daripada perkara-perkara yang tidak diingini,” katanya. – BERNAMA