KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dengan mandat besar yang diterima di Parlimen, kerajaan akan menumpukan perhatian sepenuhnya bagi menjamin tatakelola dan tadbir urus yang berkesan untuk manfaat kebajikan rakyat dan negara.
Perdana Menteri berkata, dengan mandat melalui undian dua pertiga di Parlimen, kerajaan kini menumpukan kepada usaha menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat.
“Apa yang berlaku di Parlimen dua hari lalu kita bincangkan sepintas lalu.
“Mandat itu jelas dan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof kerana usul beliau itu diterima baik hampir sebulat suara, jika ada pengundian, undi dua pertiga itu pasti terjamin.
“Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada semua parti Kerajaan Perpaduan dan kebetulan dalam kes ini tiada yang membantah daripada parti pembangkang,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet, hari ini.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, beliau bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, akan menyelaras cara jentera kerajaan mempercepatkan urusan permohonan perniagaan supaya lebih cepat, pantas dan efisien.
Katanya, ini berikutan sudah ada petunjuk positif dalam kalangan pengusaha dan pelabur luar yang berminat melabur di negara ini.
“Kita harus menunjukkan cara dan urusan yang lebih berkesan serta pesat berbanding daripada sebelumnya,” katanya.