SEGAMAT: Seorang wanita warga emas ditemukan lemas selepas dipercayai tergelincir ke dalam longkang di Batu Anam, di sini petang tadi.
Mangsa, A Fatimah, 69, yang sebelum ini dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) ditemui oleh jirannya yang menyedari kehilangan warga emas itu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata kejadian itu menjadikan empat kematian akibat banjir dilaporkan di negeri itu iaitu satu di daerah Kluang dan tiga di daerah Segamat.
“Terbaru pada petang tadi yang membabitkan seorang wanita warga emas berusia 69 tahun,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Segamat di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Polis Segamat Superintendan Ahmad Zamry Marinsah.
Kamarul Zaman berkata, mangsa mungkin terjatuh dan siasatan pihak polis akan diteruskan bagi mengetahui sebab mangsa keluar daripada PPS.
Beliau berkata, cuaca hujan masih berlaku di negeri ini sekali gus memberi ancaman banjir walaupun hujan tidak lebat.
“Lebih 4,000 anggota polis dikerahkan bagi operasi banjir di Johor dan kita turut menerima bantuan daripada Pasukan Gerakan Am dan agensi keselamatan lain,” katanya.
Kamarul Zaman berkata, setakat 10 malam ini, 20 laluan di negeri ini masih ditutup untuk semua jenis kenderaan, manakala 11 laluan masih dibuka untuk kenderaan berat sahaja.