Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Mohd Puad Zarkashi membidas bekas setiausaha agung Umno, Annuar Musa yang menolak gesaan supaya pilihan raya umum (PRU) disegerakan kerana beranggapan kerajaan yang ada kini dalam keadaan stabil.
Jelasnya, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia tidak sepatutnya merendahkan kebijaksanaan rakyat memilih kerajaan yang stabil dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini.
“Annuar tidak boleh merendah-rendahkan kebijaksanaan rakyat yang memilih kerajaan stabil di PRN Melaka, Sarawak dan Johor.
“Semua tahu termasuk pelabur asing bahawa kerajaan pusat hari ini adalah kerajaan majoriti lemah. Ia boleh diugut, diikat, ditekan, tidak dihormati dan ditinggalkan pada bila-bila masa sahaja.
“Lihat sahaja kes Zuraida (Kamaruddin). Apabila dia meninggalkan PPBM (Bersatu). Banyak pihak menuntut bahawa jawatan menteri yang kosong itu adalah milik parti mereka. Itu tidak termasuk tekanan daripada mereka yang mengidam jawatan timbalan perdana nenteri,” katanya kepada Malaysiakini.
Semalam Annuar dilaporkan berkata kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob merupakan sebuah kerajaan yang stabil hasil dukungan semua pihak termasuk pembangkang.
Justeru, beliau berkata tiada keperluan mendesak ketika ini untuk membubarkan parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilaksanakan.
“Soal pembubaran ini kalau kita tengok pilihan raya umum sebelum ini pun bukan berdasarkan desakan. Kabinet kena buat keputusan kalau rasa dapat mandat serta rasa dah cukup masa nak bubar, kabinet serta Perdana Menteri cuma boleh menasihatkan namun Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kuasa mutlak.
“Setakat ini, Yang di-Pertuan Agong titah kita (kerajaan) suruh kerja, Yang di-Pertuan Agong tidak titah kita (kerajaan) suruh ‘politiking’ malah Yang di-Pertuan Agong sebut kurangkan ‘politiking.’ Kerajaan ini akan junjung titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Khas Bersama Warga Jabatan Penerangan Kelantan.
Lambatkan PRU bukan politiking?
Mengulas lanjut Mohd Puad berkata, Annuar tidak sepatutnya buat tafsiran mengikut seleranya berhubung titah Yang di-Pertuan Agong mengenai politiking.
“Kalau permintaan akar umbi Umno agar PRU dipercepatkan dianggap sebagai politiking, maka apakah melambatkan PRU bukan politiking? Hatta membuat tafsiran sendiri terhadap titah Agong juga boleh dianggap sebagai politiking.
“Apa yang Annuar banggakan sangat MoU (memorandum persefahaman) Kerajaan-Pakatan Harapan (PH). Kegagalan kerajaan mendapatkan kelulusan Dewan Rakyat bagi Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), amat mendukacitakan. 84 menyokong, 86 menolak dan 50 MP (ahli Parlimen) lagi tidak hadir. Terbukti MoU itu adalah rapuh.
“Apakah mereka yang mahu PRU dilambatkan adalah mereka yang takut tidak dicalonkan semula dan takut hilang jawatan terlalu cepat. Maka siapa yang penakut sebenarnya,” kata Mohd Puad lagi.