Pasaran saham di seluruh dunia sekali lagi menjunam, dengan Wall Street secara rasmi terjerumus ke dalam pasaran penurunan dengan pelabur menjangkakan kenaikan kadar faedah lebih agresif oleh Rizab Persekutuan (Fed) untuk menangani inflasi.
AFP melaporkan pasaran global bergolak selepas data harga pengguna terkini Amerika Syarikat menunjukkan bitcoin jatuh ke paras terendah dalam tempoh 18 bulan. Dolar pula terus melonjak lebih tinggi dan harga minyak mencatatkan turun naik dengan ketara.
“Keresahan yang timbul daripada bacaan inflasi Amerika Syariikat lebih tinggi di luar jangkaan terus menyebabkan kelukaan ke seluruh pasaran, kerana ia memadam harapan bahawa Fed akan dapat memperlahankan sedikit langkah untuk menaikkan kadar faedah,” kata Pengarah Pelaburan AJ Bell, Russ Mould.
S&P 500, indeks ekuiti meluas Wall Street, menjunam 3.9 peratus untuk mengakhiri dagangan pada 3,749.53, jatuh lebih 20 peratus daripada kemuncak terkini 4 Januari lalu, sekali gus menjerumuskannya ke dalam pasaran penurunan.
Bursa saham di Paris, Frankfurt, Tokyo dan Hong Kong semuanya jatuh sekurang-kurangnya dua peratus.
Sementara itu, Reuters pula melaporkan saham Asia jatuh hari ini selepas Wall Street mencecah pencapaian pasaran menurun yang disahkan dan hasil bon mencecah paras tertinggi dalam dua dekad.
Ia berikutan kebimbangan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat yang agresif dan dijangka akan mendorong ekonomi terbesar dunia itu ke dalam kemelesetan.
Indeks meluas MSCI bagi saham Asia Pasifik di luar Jepun (MIAPJ0000PUS) turun 0.9 peratus.
Saham Australia S&P/ASX200 (AXJO) merosot 5 peratus pada awal dagangan, manakala indeks saham Nikkei Jepun (N225) susut 1.74 peratus.
Di Hong Kong, Indeks Hang Seng (HSI) susut 1.44 peratus manakala dan Indeks CSI300 China (CSI300) turun hampir 1 peratus pada sesi pembukaan.
Suasana negatif di Asia berikutan sesi suram di Amerika Syarikat pada hari Isnin, yang menyaksikan Goldman Sachs meramalkan kenaikan kadar faedah 75 mata asas pada mesyuarat dasar Fed seterusnya pada hari Rabu.
Di Kuala Lumpur, Bursa Malaysia terus menyaksikan aliran penurunan pada sesi awal Selasa ketika pelabur kekal berhati-hati berikutan ketidaktentuan pasaran serta impak jualan ketara semalaman di Wall Street, kata peniaga.
Pada 9.15 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 9.41 mata kepada 1,455.42 daripada 1,464.83 pada akhir dagangan semalam.
Indeks penanda aras tersebut dibuka susut 6.97 mata kepada 1,457.86.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 529 berbanding 63 manakala 216 kaunter lain tidak berubah, 1,455 tidak diniagakan dan sembilan lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 355.69 juta unit bernilai RM239.99 juta.
Bernama memetik Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng sebagai berkata aktiviti jualan di Wall Street terus meningkat susulan kebimbangan mengenai tindakan Rizab Persekutuan menaikkan kadar faedah lebih agresif menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada minggu ini.
Di peringkat tempatan, beliau berkata FBM KLCI susut ke paras terendahnya dalam tempoh 52 minggu semalam berikutan penyusutan hampir 110 mata sejak akhir Mei lepas.
“Berikutan penjualan yang drastik di Wall Street, kami menjangkakan dagangan di bursa tempatan itu akan kekal berhati-hati pada hari ini.
“Oleh itu, kami mengunjurkan indeks itu berkemungkinan menguji paras 1,450 sebelum bermulanya aktiviti mendapatkan saham berharga rendah. Bagi hari ini, indeks itu dijangka bergerak dalam lingkungan 1,450-1,470,” katanya kepada Bernama.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank turun lima sen kepada RM8.68, Public Bank susut tiga sen kepada RM4.48, Petronas Chemicals berkurangan 10 sen kepada RM9.56 manakala IHH Healthcare kekal tidak berubah pada RM6.22.
Bagi saham aktif, Unitrade susut enam sen kepada 26 sen, Dagang NeXchange turun dua sen kepada 88.5 sen, Yew Lee merosot setengah sen kepada 29 sen manakala Serba Dinamik dan Ta Win masing-masing kekal pada 10 sen dan 8.5 sen.
Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas turun 83.48 mata pada 10,393.72, Indeks FBM Emas Syariah susut 82.58 mata kepada 10,598.07, FBM 70 merosot 136.75 mata kepada 12,542.87, FBM ACE berkurangan 79.64 mata kepada 4,837.02 dan Indeks FBMT 100 menguncup 75.90 mata kepada 10,116.49.
Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 120.96 mata kepada 16,058.95, Indeks Perladangan turun 60.43 mata kepada 7,322.48 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 1.90 mata kepada 186.92.