Seorang penghantar makanan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di Johor Bahru hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu menghantar dan memulakan komunikasi bahan lucah menerusi aplikasi media sosial, dua tahun lepas.
Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, yang menjatuhkan hukuman denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Muhammad Khair Maani, 25, memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayarnya.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Khair menggunakan platform Instagram secara sedar telah memulakan penghantaran komunikasi berbentuk gambar dan video lucah dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Blok C, Taman Ungku Tun Aminah di sini pada 4.51 petang 24 Jan 2020 mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Muhammad Khair, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan atas alasan hanya bekerja sambilan dan menanggung ibu serta adiknya.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Nur Nazhzilah Mohammad Hashim pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal.
– Bernama