Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett, dan Menteri Luar, Yair Lapid bersetuju untuk membubarkan Parlimen, yang sekali membawa kepada pilihan raya baharu.
Semasa tempoh tersebut, Lapid akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri sementara waktu, kata seorang pegawai, mengesahkan laporan media tempatan, lapor Reuters.
Undian akan diadakan di Parlimen minggu depan, dan selepas itu Lapid akan mengambil alih jawatan perdana menteri, kata pegawai itu.
Lapid dan Bennett, pada Jun 2021, telah membentuk gabungan yang tidak dijangka selepas dua tahun kebuntuan politik, menamatkan pemerintahan bekas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.
Kerajaan parti sayap kanan, liberal dan Arab Islam rapuh sejak awal.
Dengan majoriti Parlimen yang tipis dan berpecah-belah dalam isu dasar utama seperti konflik Israel-Palestin dan isu negara dan agama, pakatan lapan puak itu mula retak apabila segelintir ahli meninggalkan gabungan.
Majoriti Parlimen kerajaan kemudian mulai berkurangan selepas itu.
Pilihan raya ini akan menjadi yang kelima Israel dalam tempoh tiga tahun, dan ia akan meletakkan Netanyahu, yang telah menjadi ketua pembangkang sejak setahun lalu, kembali ke pusat medan politik.- Agensi