Pemecatan ahli Majlis Tertinggi (MKT) Umno sebelum tamat tempoh perkhidmatannya berisiko mencetuskan krisis dalam parti, kata Ketua Umno Ketereh Annuar Musa.
Menerusi hantaran media sosial, menteri komunikasi dan multimedia itu berkata lebih ramai ahli parti akan disingkirkan kerana mereka dilabel sebagai musuh politik.
Kenyataan itu hadir selepas Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman memaklumkan dalam surat bertarikh 21 Jun mengenai penyingkirannya daripada Majlis Tertinggi Umno.
“Tindakan memecat ahli MKT sebelum tamat penggal perkhidmatan akan hanya membawa parti ke arah krisis dan perpecahan.
“Tindakan ini bercanggah dengan semangat dan resolusi Perhimpunan Agong Umno (PAU),dan PAU Khas.
“Meskipun ada peruntukan bagi presiden memecat ahli MKT yang dilantik presiden,namun tindakan itu tidak membawa kebaikan malah jarang dilakukan oleh mana-mana presiden Umno,” katanya.
Malah, menurut Annuar, ia tidak diamalkan semasa era Dr Mahathir Mohamad menerajui Umno.
“Di bawah Tun M (Mahathir), terdapat menteri, timbalan menteri dan MKT yang menentang beliau secara terbuka, namun tiada sesiapa digugurkan hanya kerana tidak menyokong presiden.
“Namun kali ini pemecatan demi pemecatan berlaku, dan difahamkan ada lagi beberapa nama yang sudah dicap sebagai musuh politik, bakal di pecat,” tambah Annuar, yang turut dipecat sebagai setiausaha agung BN pada Januari 2021.
Tajuddin telah beberapa kali dipilih menganggotai majlis tertinggi Umno sebelum ini. Bagaimanapun, semasa pemilihan parti 2018, dia memilih untuk bertanding jawatan naib presiden tetapi tidak berjaya.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi enggan menjelaskan pemecatan Tajuddin.