Rafizi Ramli menyifatkan kepimpinan Umno kelam-kabut untuk menolak “formulanya” kerana mereka tiada idea yang lebih baik untuk menangani isu yang dihadapi negara.
Bakal timbalan presiden PKR itu berkata, semakin giat mereka memperlekehkan idea dan formulanya, semakin jelas yang mereka takut kepadanya.
“Setiap kali saya bersuara, satu-satunya jawapan yang datang dari pimpinan Umno ialah kononnya saya hanya tahu membentangkan formula-formula. Mereka memberi contoh bagaimana kononnya formula-formula ini tidak dapat dilaksanakan semasa PH memerintah selama 22 bulan.
“Apabila mereka cukup takut dengan ‘formula-formula’ saya sehinggakan beberapa pimpinan mereka bersuara serentak setiap kali saya mengutarakan idea penyelesaian, itu maknanya mereka mengakui (dalam diam) bahawa mereka tandus idea untuk mentadbir negara.
“Mereka bimbang sekiranya politik Malaysia berkisar mengenai idea (bukannya sentimen kaum, agama atau siapa yang berkuasa), mereka akan ditolak rakyat seperti yang berlaku dalam PRU14,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rafizi membalas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam yang membidasnya kerana menganggap cadangan parti itu agar sebuah lembaga kebangsaan ditubuhkan bagi menangani isu peningkatan harga ayam sebagai satu jenaka.
Zahid berkata, rakyat tidak perlukan formula yang diperkenalkan Rafizi sebaliknya mahukan solusi kepada permasalahan yang dihadapi.
Namun bagi Rafizi, Umno akan cuba memperlekeh sebarang idea daripada pembangkang kerana parti itu tahu mereka ketandusan idea.
“Lebih banyak mereka cuba memperlekehkan idea saya, lebih jelas ketakutan mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata ia antara sebab kekalahan Umno dalam PRU14, apabila dasar yang dibuat seperti pemotongan subsidi dan pengenalan cukai GST, selain isu seperti rasuah, gagal dipertahankan jika dibandingkan dengan dasar PH pada masa itu.
‘Penyelesaian datang dari formula’
Berkenaan formulanya, Rafizi berkata orang ramai tahu bahawa sejak 2013 dia telah memperjuangkan formula penetapan harga petrol dan diesel yang telah digunakan sejak pentadbiran PH sehingga kini.
“Dalam mereka mengatakan formula saya tidak dapat dilaksanakan, formula itu juga yang dipakai oleh perdana menteri dari Umno sendiri.
“Kalau ada satu formula penyelesaian yang berjaya melindungi rakyat dari harga petrol yang naik mendadak (seperti di zaman Najib), formula itu dibawa oleh saya.
“Manfaatnya, rakyat menikmati harga petrol dan diesel pada kadar yang stabil sejak Mei 2018 hingga sekarang,” katanya lagi.
Katanya lagi, formula datang daripada idea dan formula yang dilaksanakan dengan akan menghasilkan penyelesaian.
“Tanpa idea dan formula, tidak akan ada penyelesaian,” katanya lagi.
Dalam kenyataannya pada 25 Jun lalu, Rafizi mencadangkan penubuhan stok penimbal (stockpile) serta penstrukturan semula sejumlah kementerian agar pengurusan rantaian bekalan ditangani dengan lebih berkesan tanpa pertindihan kuasa antara kementerian.
Hari ini, dia menjelaskan stop penimbal bagi bahan keperluan asas adalah penyelesaian jangka panjang dan membolehkan kerajaan mengimbangi gangguan bekalan yang menyebabkan kenaikan harga mendadak.
“Sementara ada keperluan dalam industri dan kes tertentu untuk diperkenalkan harga siling (terutamanya untuk mengelakkan kegiatan pencatutan dan mengambil keuntungan yang berlebihan), kaedah harga siling semata-mata tidak berjaya menyelesaikan masalah dalam keadaan gangguan bekalan yang mendadak,” katanya lagi.