Ahli Parlimen Lahad Datu, Mohamaddin Ketapi yang juga Adun Segama hari ini mengumumkan tindakannya keluar dari Bersatu.
Katanya, keputusannya itu atas sebab dirinya tidak diberi peranan serta kepercayaan untuk mengukuhkan parti tersebut terutama di peringkat akar umbi di kawasan Parlimen Lahad Datu dan DUN Segama, setelah lebih enam bulan bersama Bersatu.
Mohamaddin berkata walaupun dia keluar daripada sebuah parti membentuk kerajaan, dirinya kekal sebagai ahli parlimen dan Adun yang menyokong kerajaan Persekutuan juga Sabah dalam kapasiti sebagai wakil rakyat bebas.
“Setelah lebih enam bulan tiada sebarang peranan diberikan, saya tidak rasa kecewa dan saya anggap mungkin Bersatu sudah cukup kuat di Parlimen Lahad Datu dan DUN Segama oleh itu tiada keperluan untuk saya bertahan lama di parti ini,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu hari ini.
Pada 30 Oktober tahun lalu, Mohamaddin mengumumkan keluar daripada Warisan sebelum menyertai Bersatu pada 26 Nov tahun lepas, dan hari ini membuat keputusan keluar daripada Bersatu.
Kedua-dua kerusi yang dipegangnya adalah semasa bertanding atas tiket Warisan.
Dia adalah ahli parlimen bagi kawasan Silam (2018 – 2019) sebelum kerusi itu dinamakan semula sebagai Lahad Datu. Semasa PRU14, Mohamaddin yang bernaung bersama Pakatan Harapan berjaya merampas kerusi itu daripada BN.
Pada pilihan raya negeri 2020, dia memenangi kerusi DUN Segama pula dalam pertandingan lapan penjuru.
Menurut laman sesawang Parlimen, kini terdapat 32 ahli Parlimen daripada Bersatu.
Dengan keputusan Mohamaddin, bersama Zuraida Kamaruddin (Ampang) dan Willie Mongin (Puncak Borneo), Bersatu akan mempunyai 29 kerusi apabila Dewan Rakyat bersidang semula pada 18 Julai.