Membenarkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) membeli terus hasil tangkapan laut harian daripada nelayan tempatan akan membantu menghapuskan orang tengah yang mengawal harga pasaran.
Pengerusi LKIM Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dilaporkan berkata langkah yang dicadangkan itu akan selaras dengan hasrat Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk melancarkan ‘perang’ terhadap orang tengah dalam rantaian bekalan hasil.
““Mereka (orang tengah) kawal pembelian ikan dan nelayan tidak ada pilihan untuk jual, mereka akan menekan harga kepada nelayan ketika membeli.
“Sebab ikan ini permainan dia kena ada kapasiti beli dan simpan. Bila dah simpan maka mereka akan mengeluarkan ikan dari stok ketika musim tengkujuh atau bekalan kurang, tetapi dengan menjual pada harga mahal,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.
Syed Abu Hussin berkata membenarkan LKIM membeli terus hasil tangkapan harian akan menyaksikan nelayan ditawarkan harga yang lebih berpatutan, serta memastikan bekalan ikan yang berterusan pada harga terkawal untuk pengguna.
“Kalau ada dasar hanya LKIM boleh beli, beku dan simpan ikan, maka apabila orang tengah nak naikkan harga ikan yang dimilikinya, LKIM boleh keluarkan ikan dalam stok untuk stabilkan harga,” katanya.
Harian Metro memetik Syed Abu Hussin sebagai berkata bahawa LKIM telah mengenal pasti “kartel” yang kini beroperasi di jeti pendaratan ikan untuk membeli dan membekukan sejumlah besar tangkapan untuk dijual pada masa hadapan.
Sehubungan itu, dia berkata LKIM harus menentang tindakan kartel itu dengan kebenaran daripada kerajaan untuk membuat tawaran yang lebih baik kepada nelayan tempatan.
“Jika kartel membeli pada harga tinggi, LKIM juga boleh membeli pada harga yang sama, tetapi ia mesti dilakukan dengan cara yang betul,” katanya.
Syed Abu Hussin menambah, LKIM sedang dalam proses memuktamadkan tender bagi syarikat yang layak untuk membekalkan ikan kepada agensi itu bagi menambah stok ikan beku.