Ribuan pekerja asing yang mahu kembali ke negara asal mereka hari ini dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2)
Keadaan tersebut berlaku selepas mereka gagal mendaftar masuk di balai pelepasan tepat pada masanya.
Pemandangan serupa berlaku di pintu keluar masuk di Johor, di mana ada yang terpaksa menunggu lebih tiga hari bagi mendapatkan giliran serta membuat pembayaran kepada Jabatan Imigresen.
Bagaimanapun, difahamkan kaunter Jabatan Imigresen telah mengehadkan untuk menerima hanya 100 pembayaran sehari.
Pelbagai sumber mengesahkan ribuan pendatang asing terkandas di KLIA2 di Sepang dan pelabuhan Pasir Gudang dan Stulang Laut di Johor.
Wakil Migrant Care di Malaysia, Alex Ong berkata ini bukan kali pertama keadaan seumpama itu berlaku kerana kejadian yang samaturut berlaku pada Disember tahun lalu.
Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dilaksanakan bermula 16 November hingga 30 Jun 2021.
Bagaimanapun program itu dilanjutkan sehingga 30 Jun (hari ini).
Program Rekalibrasi penghantaran pulang merupakan program yang membenarkan PATI pulang ke negara asal secara sukarela tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang ditetapkan.
Manakala Program Rekalibrasi Tenaga Kerja pula merupakan program khas untuk meregularisasikan PATI di negara ini sebagai pekerja asing yang sah digajikan oleh majikan yang layak.
Sumber yang berkongsi gambar pekerja asing yang terkandas di KLIA 2 berkata ada di kalangan mereka yang terkandas selama dua hingga tiga hari tidak tahu apa yang perlu dilakukan, kerana sudah kehabisan wang bagi menyediakan segala keperluan untuk pulang ke negara asal mereka.
Katanya, ada juga yang telah ditipu oleh ejen tidak bertanggungjawab yang menjanjikan mereka penerbangan balik.
Sindiket tipu pendatang asing
Sehingga 31 Dis 2020, sebanyak 6,634 operasi ke atas pendatang tanpa izin telah dijalankan manakala seramai 22,522 pendatang tanpa izin dan 387 majikan telah ditahan.
Pada Disember tahun lepas Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin mengumumkan bahawa 280,088 pekerja asing telah memohon untuk Pelan Rekalibrasi PATI dan lebih 120,000 daripadanya terlibat dalam sektor perladangan.
Sementara itu, awal bulan ini Jabatan Imigresen telah menggagalkan kegiatan sindiket yang menggunakan syarikat berdaftar yang didakwa terlibat dalam program berkenaan bagi menipu pekerja asing.
Mereka menahan enam individu termasuk dalang warga Bangladesh yang juga pemegang status Pemastautin Tetap (MyPR).
Penghantaran pulang bukan baru
Sejak mengadakan 15 program penghantaran pulang pada1989, Ong berkata Jabatan Imigresen sepatutnya lebih bersedia menghadapi kebanjiran pekerja asing di lapangan terbang kerana mereka mahu bekerja sehingga hari terakhir untuk memperoleh pendapatan sebanyak mungkin sebelum pulang ke negara asal.
Katanya, pihak imigresen perlu menyediakan lebih banyak kaunter untuk PATI membayar denda mereka sebelum meneruskan daftar masuk untuk penerbangan mereka.
Kata Ong, kelewatan berlaku terutamanya apabila PATI diharap membuat pembayaran elektronik dan kebanyakan mereka tidak mempunyai kad debit atau kredit.
“Mereka perlu bergantung kepada pemegang kad untuk membuat pembayaran ini.
“Ini adalah masalah yang boleh dijangka,” katanya, sambil menambah syarikat penerbangan juga boleh mengambil peranan proaktif dalam menguruskan kebanjiran itu.
Tambah Ong, dia juga cukup bimbang dengan kanak-kanak dan orang kurang upaya yang terpaksa beratur berjam-jam kerana tiada kaunter khas untuk mereka.
Katanya, seorang lelaki berkerusi roda kerana hilang upaya akibat strok yang dialaminya terpaksa beratur selama 19 jam sebelum dapat menaiki pesawat pukull 8.30 pagi hari ini.
Ong berkata lelaki terbabit kelihatan begitu letih, namun berasa ceria kerana akhirnya dapat pulang ke negara asalnya.
Jelas Ong, lelaki terbabit telah berhenti kerja selepas mengalami strok manakala tiket penerbangan pulangnya ke Indonesia telah ditaja oleh insan berhati mulia.
“Apabila dia tiba di Jakarta, dia akan dibantu oleh NGO lain di sana untuk pulang ke rumahnya,” jelas Ong.