Kemunculan ikan paus di Langkawi membuatkan warga maya kecoh.
Ramai terkejut apabila mendapati terdapat mamalia besar itu di perairan negara.
Kumpulan pemuliharaan laut Kajian Mamalia Laut dan Pemuliharaan (Marecat) berkata ikan paus Bryde itu memang sentiasa melalui kawasan itu bagi mendapatkan ikan bilis, yang kebetulan banyak tahun ini.
“Ikan paus ini ambil kesempatan atas kewujudan banyak ikan bilis sekarang, dan pasukan kami mendapat peluang hebat utnuk mendumentasikan gelagat pemakanannya,” kata Marecat.
Marecat telah membuat dokumentasi ke atas ikan paus dan habitat mereka di perairan Kedah sejak tahun 2019.
Video tular sekumpulan ikan paus pada awal minggu ini dirakam kru Marecat 70km dari persisiran Langkawi.
Tiga ikan paus itu dikesan berada di antara kawasan Pulau Segayar dan Pulau Segantang.
“Ia sangat mengagumkan untuk melihat mereka melompat keluar dari permukaan air dan membuka mulut mereka dengan sangat luas dalam masa yang singkat iaitu 15-55 saat.
“Ikan paus itu akan menunggu ikan untuk masuk dan kemudian menutup mulut dan menolak air yang terisi keluar. Meninggalkan ikan kecil terperangkap di dalam mulutnya.
Dan kemudian ikan paus itu akan menelannya,” katanya.
Pada tahun 2019, International Union for Conservation of Nature (IUCN) mengiktiraf perairan di sekitar Langkawi sebagai Important Marine Mammal Area (IMMA).